Selangor komited sokong perkembangan sukan permotoran
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk terus menyokong pembangunan sukan permotoran bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad memaklumkan beliau telah hadir memberi sokongan serta meninjau persediaan pasukan MBI Selangor–EXN Axla yang bersaing pada perlumbaan Petronas Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang.
"Anak muda tempatan beradu kepandaian dan keberanian untuk membuktikan kehebatan masing-masing.
"Kelibat MBI Selangor–EXN Axla turut gagah di atas permulaan grid, membuktikan anak Selangor memang hebat," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Untuk rekod, pasukan itu terlahir daripada kewujudan Litar Rakyat Kuala Selangor dan dengan sokongan Kerajaan Negeri serta penaja lain, ia memulakan saingan pertamanya tahun ini.
Pemilik pasukan Asmawi Askor, sebelum ini dipetik berkata sukan permotoran bukan sahaja mampu menangani isu lumba haram, malah melahirkan ramai tenaga pakar dalam bidang teknikal dan pengurusan sukan berprestasi tinggi itu.
Sementara itu menerusi hantaran sama Saifuddin yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor menegaskan bahawa sukan permotoran bukan sekadar rekreasi, sebaliknya medan yang menuntut disiplin, komitmen dan daya saing.
Justeru itu katanya, pencapaian anak muda dalam saingan tersebut harus dihargai dengan sokongan berterusan.
"Sukan ini memerlukan perbelanjaan besar, justeru penglibatan kerajaan negeri serta sektor korporat amat penting bagi menjamin kelangsungan bakat-bakat muda.
"Saya tekad menggalakkan penglibatan kerajaan lebih mendalam dalam sukan permotoran," ujarnya lagi.









Comments