Selangor komited pelihara bangunan warisan, seiring pembangunan
- Suara Keadilan

- Aug 28
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh usaha pemeliharaan bangunan bersejarah miliknya termasuk di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memastikan khazanah warisan terus terpelihara, di samping menghidupkan kembali identiti serta nilai sejarah bandar.
"Fokus lawatan ke ThinkCity di Kuala Lumpur adalah membaik pulih bangunan warisan milik Kerajaan Negeri Selangor, termasuk Mahkamah Perusahaan dan Muzium Muzik.
"Bangunan ini bukan sahaja bernilai dari segi seni bina dan warisan, malah merupakan sebahagian daripada sejarah perkembangan negara. Pemuliharaan penting agar ia dapat diwarisi generasi akan datang," katanya dalam hantaran di Facebook.
Selain usaha pemuliharaan warisan, Amirudin berkata perbincangan turut meliputi agenda pembangunan mampan seperti Projek Shah Alam Sponge Cities Programme yang menekankan pengurusan air hujan melalui konsep ‘Sponge City’.
Turut dibincangkan ialah Program Kita-untuk-Kita Selangor yang memberi impak besar kepada komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dan PPR Kampung Baru Hicom.
"Insya-Allah, Selangor akan terus melaksanakan usaha berterusan demi kesejahteraan rakyat, di samping mengekalkan kelestarian pembangunan serta warisan sejarah negeri," ujar beliau.








Comments