top of page

Selangor komited pastikan pembangunan seimbang untuk rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 17
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmennya untuk memastikan pembangunan negeri terus dilaksanakan secara seimbang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar demi kesejahteraan rakyat.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) kali ke-48 di Putrajaya pada Rabu.


Menurut beliau, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan platform penting yang menyatukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merangka perancangan fizikal serta pembangunan bandar dan desa secara menyeluruh dan bersepadu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.


"Kerajaan Negeri komited untuk bersama Kerajaan Persekutuan merancang secara teliti dan inklusif dasar pembangunan agar Selangor kekal mampan, berdaya huni dan seimbang demi kesejahteraan rakyat.


"Perancangan rapi akan memastikan pembangunan tidak hanya memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga meningkatkan taraf hidup serta menjaga kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.


Mesyuarat MPFN kali ini mempertimbangkan lima kertas kerja merangkumi empat kertas persetujuan dan satu kertas makluman yang memberi tumpuan kepada kemampanan dan keseimbangan pembangunan negara, sejajar dengan usaha memperkukuh agenda Malaysia MADANI.


Sementara itu berdasarkan laporan media, beberapa dipersetujui pada mesyuarat tersebut antaranya Panduan Perancangan dan Pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (PPP KSAS) yang dikemukakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


PPP KSAS akan menjadi rujukan utama pihak berkuasa negeri, PBT, PLANMalaysia negeri, Jabatan Alam Sekitar negeri serta agensi pelaksana lain dalam merancang dan mengurus pembangunan di kawasan KSAS.


Mesyuarat turut mengambil maklum hasrat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memperluaskan liputan Kawasan Perlindungan Marin (MPA) bagi mencapai sasaran 10 peratus kawasan MPA dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), selaras dengan komitmen negara di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page