Selangor komited kukuhkan status destinasi pelaburan serantau
- Suara Keadilan
- May 8
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor komited menyediakan sokongan dinamik dan stabil kepada pelabur demi memastikan kelangsungan dan kejayaan pelaburan di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Selangor menyumbang 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu, sekaligus membuktikan statusnya sebagai destinasi pelaburan pilihan di Asia Tenggara.
"Selangor meraih pelaburan bernilai RM101 bilion tahun lalu hasil daripada perancangan strategik, infrastruktur kukuh, dan kesalinghubungan bertaraf dunia.
"Dasar mesra perniagaan turut menyumbang rekod pelaburan yang tinggi menjadikan Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia," katanya .
Amirudin berkata begitu ketika berucap di Forum Pelaburan Selangor (SIF) anjuran Invest Selangor bersempena Ekspo Osaka, Kansai 2025 di Jepun.
Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan tujuh agensi negeri menyertai sesi pembentangan pelaburan, termasuk inisiatif Pembangunan Taman Perindustrian (MIPs), kepada pelabur Jepun.
Antara agensi terlibat ialah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI], Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Central Spectrum Sdn Bhd, Worldwide Holdings Berhad, Unit Penyampaian Smart Selangor (SSDU), Port Klang Authority, dan Cyberview Sdn Bhd.
"Kami turut berkongsi kisah kejayaan syarikat Jepun yang berkembang di Selangor, memperlihatkan potensi negeri ini sebagai hab pelaburan strategik.
"Forum ini juga menjadi platform penting untuk mengukuhkan rangkaian, memadankan peluang perniagaan, serta memupuk kerjasama baharu antara pelabur Jepun dan agensi pembangunan MIPs di Selangor," katanya.
Comments