top of page

PM ke China kukuhkan kerjasama ekonomi, digital, bakat teknikal

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
34 minutes ago
1 min read
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar Arkib
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar Arkib

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, China bermula Selasa, dengan tumpuan kepada pengukuhan hubungan ekonomi Malaysia-China, kerjasama perdagangan digital serta pembangunan bakat teknikal.


Lawatan atas jemputan kerajaan China itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama Malaysia-China ke bidang baharu termasuk pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI).


Dalam lawatan tersebut, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang bagi membincangkan pengukuhan hubungan serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.


Tumpu kemahiran, teknologi


Antara agenda utama lawatan ialah penyertaan Perdana Menteri dalam WorldSkills Shanghai 2026 pada 22 dan 23 September. Beliau juga dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan berkenaan, yang memberi penekanan kepada kepentingan kemahiran dan pembangunan bakat teknikal.


Anwar turut dijadual menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di Hangzhou pada 24 September. Platform itu menjadi antara ruang untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan digital dan ekonomi berasaskan teknologi.


Malaysia dan Hungary turut menjadi negara tetamu kehormat bagi edisi kelima GDTE yang berlangsung di Hangzhou dari 23 hingga 27 September.


Lawatan ini merupakan lawatan keempat Anwar ke China sebagai Perdana Menteri dan dilihat sebagai kesinambungan hubungan Malaysia-China yang turut berkembang daripada kerjasama tradisional kepada bidang strategik baharu seperti TVET, ekonomi digital dan AI.


Menurut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, lawatan berkenaan turut mencerminkan hubungan rapat antara kedua-dua negara, selain membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang baharu di luar sektor tradisional.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page