Selangor komited beri penjelasan telus isu rakyat di sidang DNS
- Suara Keadilan

- Jul 1
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor komitmen memberi penjelasan telus berkaitan isu-isu yang menjadi perhatian rakyat di negeri itu.
Komitmen itu dinyatakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) susulan pertemuan rutin bersama pegawai-pegawai kanan Pejabat Menteri Besar pada Isnin.
"Pertemuan pegawai-pegawai kanan itu bagi melengkapkan jawapan untuk soalan-soalan lisan dan bertulis yang dikemukakan blok Kerajaan dan Pembangkang pada sesi Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual berlangsung minggu hadapan.
"Soalan banyak tertumpu tentang kos sara hidup, dasar-dasar Kerajaan Negeri dan tentunya isu berkaitan letupan di Putra Heights.
"InsyaAllah Dato' Menteri Besar Selangor akan memberikan penjelasan dan memberikan penerangan menyeluruh selaras dengan komitmen pentadbiran negeri terhadap tadbir urus yang cemerlang," katanya dalam kenyataan tersebut.
Sidang kali ini akan berlangsung selama dua minggu di Bangunan Annex, Shah Alam dengan sesi pertama dari 7 hingga 11 Julai, diikuti minggu kedua bermula 14 hingga 18 Julai.
Selain isu insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang pada 1 April lalu, perkara lain yang dijangka dibangkitkan termasuklah pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), kejadian banjir serta inisiatif pelaburan yang memberi dampak besar kepada ekonomi.
Perkara lain yang akan dibincangkan ialah berkaitan taman reka bentuk litar bersepadu (IC), industri semikonduktor dan aspek kebajikan rakyat.
Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang menerusi laman sesawang selangortv.my serta semua platform media sosial rasmi Media Selangor termasuk Facebook, Instagram, X, TikTok dan Telegram serta saluran MYTV.









Comments