Selangor - Khazakhstan jalin hubungan erat dalam bidang strategik
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari telah menerima kunjungan hormat Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Bulat Sugurbayev bersama delegasinya dari Kedutaan Republik Kazakhstan.
Menurut Amirudin pada pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah membincangkan pelbagai isu merangkumi sektor pendidikan, pelancongan serta inovasi digital.
"Dalam pertemuan, beliau memuji inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam mentransformasi Perpustakaan Raja Tun Uda menjadi sebuah ruang inklusif dan dinamik — bukan sekadar tempat membaca atau meminjam buku, tetapi berfungsi sebagai hab komuniti pelbagai lapisan masyarakat.
"Saya berkongsi inisiatif Kerajaan Negeri melalui Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) untuk menterjemah karya sastera asing ke dalam bahasa Melayu, dan mengalu-alukan sebarang cadangan tajuk Kazakh yang boleh dipertimbangkan untuk terjemahan," kata Amirudin dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu tambah Amirudin, pertemuan tersebut menandakan permulaan kepada hubungan yang lebih erat antara Selangor dan Kazakhstan dalam pelbagai bidang strategik demi masa depan yang lebih progresif dan inklusif.
Selangor berminat meneroka ekosistem aplikasi pintar (superapp) Kazakhstan yang berpotensi memberikan input berguna dalam menambah baik prasarana digital dan penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
"Selangor bersedia meneroka pelbagai bentuk kerjasama dengan Kazakhstan yang mampu memberi manfaat bersama, daripada perkongsian ilmu dalam tadbir urus pintar dan pendidikan, sehinggalah kerjasama dalam bidang pelancongan, inovasi serta keterhubungan," tambahnya.









Comments