Selangor kekal negeri maju dengan pentadbiran cekap, ketahanan diri
- Suara Keadilan

- Aug 5
- 1 min read

Semangat ketahanan diri (resilience) yang ditunjukkan rakyat dan pentadbiran negeri Selangor menjadi asas penting dalam mendepani pelbagai cabaran, termasuk pandemik Covid-19, bencana banjir, tragedi Batang Kali dan insiden di Putra Heights.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketahanan ini lahir daripada pemikiran berpasukan serta semangat pengorbanan yang tinggi, dan menjadi tunjang kepada proses islah atau pembaikan berterusan yang sedang digerakkan Kerajaan Negeri.
"Dengan pemikiran berpasukan yang telah kita terapkan, untuk terus menikmati kedudukan sebagai negeri yang mampu menyelesaikan cabaran baharu, kita mesti bersedia melakukan pengorbanan dan mempunyai pemahaman yang mendalam," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian dalam amanatnya kepada penjawat awam sempena Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2025 di Shah Alam pada Isnin.
Dalam pada itu, Amirudin turut menegaskan pentingnya kecekapan pentadbiran bagi memastikan perkhidmatan awam Selangor sentiasa pantas, cekap dan berkesan
Sehubungan itu jelasnya, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada lapan fokus utama menerusi Kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Negeri Selangor.
"Perubahan struktur amat perlu demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor. Lapan ruang fokus ini menjadi asas kepada perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, berkesan dan berorientasikan rakyat.
"Penumpuan yang kita lakukan sudah pasti pada penyampaian supaya ia dapat memberikan hasil yang lebih cepat dan pantas, namun masih mengikut tadbir urus yang sewajarnya," tambahnya.









Comments