Selangor Kehadapan: Bukukan pahit getir petugas hadapi Covid-19
- Suara Keadilan

- May 28
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Selangor merakamkan pengalaman pasukan barisan hadapan khususnya pentadbir Daerah Petaling dalam berdepan pandemik Covid-19 pada 2020 melalui penerbitan sebuah buku yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) di Kuala Lumpur semalam.
Pelancaran buku Selangkah Kehadapan: Pengalaman Pentadbir Petaling Dalam Mendepani Covid-19 yang diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
"Buku ini adalah dokumentasi hasil kerja keras dan simbol kecekalan, ketabahan dan daya fikir luar biasa para pentadbir Negeri Selangor ketika negara berdepan cabaran getir pandemik Covid tahun 2020.
"Tahniah saya ucapkan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Johary Anuar [sebelum ini pegawai daerah Petaling], serta seluruh pihak yang terlibat, khususnya pentadbir Daerah Petaling dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) atas komitmen dan usaha gigih dalam menjayakan penerbitan buku ini," kata beliau dalam hantaran di Facebook.
Ketika mengimbas keadaan ketika Covid-19 melanda, Amirudin berkata beliau melihat sendiri kecekalan penjawat awam Selangor khususnya di Daerah Petaling di mana kes tertinggi dicatatkan di Malaysia saban hari, mengharungi pelbagai cabaran di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan melalui arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan usaha vaksinasi.
"Mendokumentasikan pengalaman seperti ini adalah pelaburan ketamadunan. Ia menyimpan ilmu dan mewariskan hikmah untuk generasi akan datang.
"Dengan sokongan berterusan, saya yakin industri buku dan ekonomi kreatif di Selangor akan terus berkembang pesat, memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab ilmu dan budaya yang disegani di Malaysia," ujarnya lagi.









Comments