Selangor jalankan kajian prestasi pegawai lantikan politik
- Suara Keadilan

- Jun 4
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan kajian prestasi separuh penggal ke atas lantikan politik di seluruh negeri, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, kajian itu akan menilai keberkesanan penyampaian inisiatif kerajaan serta hubungan antara pemegang jawatan dengan masyarakat yang diwakili.
"Penilaian ini mengambil kira pelbagai aspek dan akan dikendalikan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor dengan kerjasama pejabat-pejabat Exco negeri. Ia akan bermula pada Jun ini.
"Fokus utama adalah untuk memastikan setiap lantikan politik benar-benar menjalankan tanggungjawab menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada rakyat secara berkesan," katanya dalam satu kenyataan.
Antara yang terlibat dalam kajian ini termasuk 28 Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Parlimen dan DUN, 373 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), 84 Ketua Kampung Baru, 62 Ketua Komuniti India serta 288 Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.
Menurut Saifuddin, hasil penilaian akan menjadi asas kepada keputusan sama ada kontrak sedia individu terbabit ada akan disambung atau ditamatkan, selain berperanan sebagai rujukan dalam cadangan pelantikan baharu.
Bagi memastikan ketelusan proses tersebut, satu mesyuarat khas bersama para pemegang taruh akan diadakan dalam masa terdekat.
"Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan pentadbiran yang cekap, berintegriti dan sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.
"Kerajaan berharap pendekatan ini memberi keadilan kepada lantikan politik yang menunjukkan prestasi cemerlang, walaupun tidak mempunyai kedudukan politik semasa. Dalam masa sama, ia mengelakkan pelantikan semula individu yang berprestasi lemah hanya kerana memiliki jawatan dalam parti," tegasnya dalam kenyataan tersebut.









Comments