Selangor henti lesen penternakan babi, ladang ditutup berperingkat - MMKN
- Suara Keadilan

- Feb 12
- 2 min read

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pemberian lesen penternakan babi di negeri itu, selaras dengan titah terbaharu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas titah Baginda yang menzahirkan pendirian tidak memperkenankan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
"Sejak bulan Januari, Kerajaan Negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang yang sedia ada di Tanjong Sepat, menjiwai titah DYMM Tuanku Sultan Selangor yang dizahirkan Baginda pada bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor.
Bagi ladang penternakan yang masih beroperasi sebelum ini, Amirudin berkata kawasan tersebut akan ditutup secara berperingkat dengan kadar lebih pantas melalui kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini kira-kira 70 peratus keperluan masyarakat bukan Islam bagi bekalan daging babi diperoleh melalui import dari negeri-negeri lain.
"Selepas keputusan MMKN, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit.
"Sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen," jelasnya.
Menurut Amirudin, keputusan tersebut diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan berkenaan terhadap alam sekitar termasuk isu saliran air dan pencemaran bau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar sebarang polemik berkaitan isu berkenaan dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menggugat keharmonian serta menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor.
"Dengan keputusan ini, sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat negeri Selangor yang berbilang kaum dan agama," katanya.




Comments