Selangor fokus usaha perkukuh pembangunan modal insan
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempengerusikan Pemukiman Strategik Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor yang berlangsung di Bangi, semalam.
Dalam hantaran di laman Facebook rasminya, Amirudin memaklumkan bahawa pemukiman ini menghimpunkan semua pemegang taruh bagi menilai pencapaian sepanjang tahun lalu, serta merangka strategi lebih mampan untuk tahun 2025.
"Fokus utama adalah memperkukuh dasar pendidikan, merapatkan jurang kemahiran, dan menyediakan platform pembangunan modal insan yang inklusif serta berdaya saing.
"Insya-Allah, segala dapatan dan resolusi daripada sesi ini akan membentuk hala tuju baharu pendidikan Negeri Selangor yang lebih progresif dan berimpak tinggi," jelas beliau.
Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan KEADILAN sentiasa menekankan kepentingan pembangunan modal insan sebagai tunjang utama kemajuan negeri secara mampan dan inklusif.
Seiring komitmen tersebut, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan merangkumi pendidikan, latihan kemahiran serta pembangunan sahsiah dan kepimpinan. Antaranya termasuk Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), Hadiah Pengajian IPT, serta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang membantu meringankan beban ibu bapa dan menyokong pendidikan anak-anak Selangor.
Bagi memperkasa golongan belia, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Smart Selangor Technical and Professional Skills Initiative (STEPS) bagi menyediakan latihan teknikal sejajar keperluan industri, serta program Selangor Youth Community (SAY) yang memfokuskan pembangunan sahsiah dan kepimpinan.
Usaha berterusan ini membuktikan komitmen Selangor dalam melahirkan generasi berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
ความคิดเห็น