Selangor masuk ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara hari ini dengan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan dibuka dan rentas daerah diperbolehkan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari gembira dengan penurunan jangkitan Covid 19 namun mengingatkan rakyat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Piawai (SOP) agar peningkatan jangkitan tidak berulang.
"Alhamdulillah, hari ini Negeri Selangor melangkah ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara. Usaha berterusan semua pihak meningkatkan kadar vaksinasi telah mula menunjukkan hasil baik terutamanya kadar penggunaan katil dan kadar jangkitan di Negeri Selangor yang telah menurun.
"Namun begitu kita harus sentiasa kekal berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka, menjaga jarak serta mengelakkan tempat yang sesak dan menjaga kebersihan. Amalan ini adalah sebahagian dari norma baharu yang harus menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Selangor," katanya.
Beliau mengingatkan terdapat negeri yang mempunyai jadar jangkitan rendah sebelum ini seperti Perlis yang mencatat peningkatan. Juga di Sarawak yang telah menghampiri kekebalan kelompok namun tiba-tiba kes melonjak.
"Kita harus belajar dari beberapa contoh yang terjadi apabila kadar jangkitan telah menurun hasil dari vaksinasi, namun lonjakan kes berlaku kerana kegagalan mematuhi SOP.
"Kealpaan ini akan menyebabkan perebakkan berlaku dan beberapa sekatan akan dikuatkuasakan semula. Mari bersama-sama kita amalkan disiplin untuk menewaskan wabak Covid-19. Bersama menuju kejayaan," katanya lagi.
Selain itu, kerajaan Selangor juga menganjurkan program vaksinasi bergerak khusus kepada mana-mana rakyat yang tertinggal dalam proses suntikan sebelum ini.
Mana-mana individu yang belum divaksin maka boleh mengunjungi program yang terbuka kepada warganegara mahupun pendatang asing itu dari 12 September hingga 18 September ini.
Comments