Selangor catat kutipan hasil melebihi anggaran, defisit berkurang
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Kutipan hasil negeri Selangor telah mencecah RM2.7 bilion setakat ini, melepasi sasaran awal tahun sebanyak RM2.3 bilion.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) ditemui pemberita selepas menghadiri satu acara di Shah Alam semalam berkata, prestasi cemerlang itu adalah hasil kerja tersusun keseluruhan pasukan di pelbagai peringkat di negeri itu.
"Alhamdulillah, kita melepasi sasaran kita iaitu RM2.3 bilion. Dalam belanjawan hari itu saya sebut kita boleh sampai RM2.7 bilion, hari ini kita dah lepas pun," katanya dipetik.
Amirudin sementara itu berkata,Kerajaan Negeri menunggu sehingga 31 Disember untuk melihat jumlah kutipan akhir yang dijangka lebih baik.
Pada November lalu, Amirudin memaklumkan kutipan hasil negeri telah mencecah RM2.49 bilion setakat 13 November 2025 sekaligus lebih 106% berbanding anggaran awal tahun penuh sebanyak RM2.35 bilion.
Peningkatan hasil negeri yang dicapai itu sekaligus telah mengurangkan defisit dalam belanjawan yang diumumkan.
"Tahun ini belanjawan kita RM3 bilion dan defisit kita lebih kurang RM400 juta tapi apabila kita dapat RM2.7 bilion, defisit kita sudah kurang menjadi RM300 juta," jelasnya.









Comments