top of page

Selangor cadang sedia unit kecemasan dalam projek perumahan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 54 minutes ago
  • 1 min read
Datuk Borhan dalam lawatan kerja ke Pangsapuri Seri Perantau, di Pelabuhan Klang
Datuk Borhan dalam lawatan kerja ke Pangsapuri Seri Perantau, di Pelabuhan Klang

Kerajaan Selangor sedang merangka kertas kerja bagi menyediakan unit kecemasan dalam setiap projek rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa.


Exco Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata, ia sebagai persediaan menghadapi bencana dan situasi kecemasan dengan memastikan setiap projek perumahan mampu menyediakan unit sementara untuk penduduk terjejas.


"Dalam perbincangan lepas, kita menekankan kepentingan beberapa unit bagi setiap kawasan strategik untuk kegunaan kecemasan termasuk bantuan sementara bagi mangsa banjir atau pemindahan.


"InsyaAllah kertas kerja ini akan memastikan kita bersedia dari segi peruntukan, logistik dan penyelenggaraan supaya unit-unit ini dapat digunakan dengan segera apabila diperlukan," katanya dipetik.


Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangsapuri Seri Perantau, di Pelabuhan Klang pada Jumaat.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat itu turut menjelaskan, inisiatif itu juga bertujuan memberi keyakinan kepada rakyat Selangor bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dan mempunyai perancangan rapi berdepan sebarang kemungkinan.


Dalam perkembangan lain, Borhan juga memaklumkan bahawa isu gangguan bekalan elektrik di Blok C, Flat Seri Perantau yang diutarakan penduduk bakal dibawa ke mesyuarat khas Kerajaan Negeri pada Isnin depan.


Mesyuarat bagi membincangkan tindakan segera serta penyelesaian menyeluruh terhadap isu tersebut akan melibatkan semua agensi berkaitan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).


Penduduk sebelum ini menggesa Kerajaan Negeri Selangor campur tangan bagi menyelesaikan isu mereka yang terpaksa bergelap dua minggu kerana ketiadaan bekalan elektrik sekaligus menjejaskan rutin harian mereka.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page