Selangor bukan sekadar bina rumah, tetapi komuniti harmoni - Exco
- Suara Keadilan

- Nov 24
- 1 min read

Dasar perumahan di Selangor bukan sekadar menyediakan kediaman mampu milik, tetapi turut menekankan pembinaan komuniti yang harmoni dan berdaya huni, kata Exco Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah (gambar).
Menurutnya, pelbagai program seperti Rewang Komuniti, gotong-royong serta pendidikan komuniti digerakkan bagi memperkasa hubungan kejiranan dalam kawasan perumahan.
"Kerajaan Negeri juga melaksana inisiatif penyelenggaraan infrastruktur kritikal melalui Skim Ceria merangkumi kerja menyenggara lif, mengecat bangunan dan membaik pulih bumbung bertujuan memastikan penduduk menikmati persekitaran selesa dan teratur.
"Selain itu, Tabung Penyelesaian Strata diperkenalkan bagi membantu pemilik mengurus isu milikan hartanah sekali gus memastikan aset mereka terus terjamin," katanya dipetik.
Borhan berkata begitu ketika merasmikan Selangor Property Expo 2025 yang di Central i-City, Shah Alam pada Ahad.
Menyentuh usaha Kerajaan Negeri menyediakan rumah mampu milik, Borhan memaklumkan bahawa sehingga Oktober lalu, sebanyak 142 projek Rumah Selangorku melibatkan 40,737 unit telah siap dibina, manakala 37 projek lagi melibatkan 10,348 unit sedang dalam pembinaan.
"Kerajaan Negeri memahami cabaran yang dihadapi anak muda untuk memiliki rumah pertama. Justeru, kita tawarkan Rumah Selangorku, manakala Skim Smart Sewa memudahkan golongan muda membuat pilihan rumah yang sesuai.
"Inisiatif ini sekaligus menjadi bukti komitmen negeri yang sentiasa berusaha membantu rakyat memiliki kediaman sendiri," tambah Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat itu.









Comments