Prestasi cemerlang Selangor bawah Pakatan Harapan (PH) telah berjaya menyelamatkan 98 daripada 181 projek perumahan terbengkalai di negeri itu.
Menurut Exco Perumahan Selangor, Rodziah Ismail, jumlah itu direkodkan sejak gabungan itu mengambil alih Kerajaan Negeri sehingga kini
Katanya, beberapa faktor termasuklah projek tidak menepati piawaian dan masalah sistem saliran telah berjaya diselesaikan sekaligus memberi kelegaan kepada pembeli kediaman terbabit.
"Isu (terbengkalai) ada banyak kategori antaranya berpunca daripada kontraktor lari, kadang ada yang sudah siap tetapi tidak mendapat kelulusan CCC (Sijil Penyiapan dan Pematuhan).
"Alhamdulillah, dengan adanya penubuhan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) pemulihan dan penyelesaian bagi isu ini dapat dipantau secara berterusan," ujarnya dalam satu sidang media.
Sementara itu, Rodziah yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata satu dasar perlu dirangka bagi memastikan isu perumahan terbengkalai dapat diselesaikan tanpa menjejaskan pembeli.
"Saya pernah mengusulkan di Parlimen sekiranya ada projek terbengkalai perlunya ada intervensi dengan Bank Negara atau mana-mana bank berkaitan untuk pembeli tidak meneruskan pembayaran yang sepatutnya dibayar setiap bulan," katanya.
Comments