Selangor bentang belanjawan RM3.23 bilion, fokus kesejahteraan rakyat
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion, meningkat 7.67 peratus berbanding belanjawan 2025.
Daripada jumlah itu, RM1.86 bilion (57.6 peratus) diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus meliputi emolumen, perkhidmatan, aset dan pemberian tetap. Baki RM1.37 bilion (42.4 peratus) pula diagihkan kepada pembangunan sektor sosial, pendidikan, kebajikan dan peluang pekerjaan, selain meneruskan pelbagai projek infrastruktur strategik bagi memacu pertumbuhan jangka panjang.
"Peruntukan pembangunan meningkat RM20 juta dan akan memberi tumpuan kepada enam teras utama, termasuk sumber hasil negeri, tadbir urus dan kelestarian alam sekitar.
"Antara yang paling menarik ialah strategi pendapatan baharu, pelaksanaan caj air, serta dasar polisi sifar yang dijangka mampu menjana sehingga RM1 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya dipetik di Dewan Undangan Negeri pada Jumaat.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua membentangkan belanjawan bertemakan “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera.”
Sementara itu menurut Amirudin, belanjawan 2026 dirangka berasaskan prinsip ketahanan fiskal dan kebertanggungjawaban, dengan keutamaan kepada pengukuhan hasil negeri, kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat, supaya Selangor terus kekal sebagai peneraju ekonomi negara.
Beliau berkata, unjuran semasa menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor 2025 dijangka mencecah RM455.3 bilion, mengukuhkan lagi kedudukan negeri sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.
"Bagi 2026, anggaran hasil negeri adalah RM2.8 bilion, manakala perbelanjaan berjumlah RM3.23 bilion, menjadikan belanjawan berada dalam keadaan defisit RM430 juta.
"Bagaimanapun, defisit ini dapat ditampung sepenuhnya melalui Akaun Hasil Disatukan berikutan kedudukan kewangan negeri yang stabil dengan rizab mencecah RM4.8 bilion setakat 12 November 2025," tambahnya.









Comments