Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan lebih RM25 juta bagi melaksanakan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) sepanjang 2022 dan 2023.
Perkara itu didedahkan Exco Pertanian, Ir Izham Hashim pada sidang Dewan Negeri Selangor pada Rabu.
Tambah beliau, pentadbiran negeri sentiasa prihatin dengan isu berkaitan keterjaminan makanan dan untuk tujuan itu Kerajaan Negeri jelasnya merangka pelan jangka pendek dan panjang menangani isu tersebut.
"Untuk jangka masa pendek, kita ambil beberapa langkah termasuk melaksanakan jualan murah barangan keperluan harian dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
"Program JER walau dilihat sebagai langkah awal dan segera, ia terbukti membantu rakyat. Kita telah belanja lebih RM25 juta pada tahun ini dan tahun lepas dalam menyokong usaha dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Kohijrah.
"Inisiatif ini banyak membantu menstabilkan beberapa komoditi atau barangan asas yang menjadi keperluan rakyat seperti telur, ayam dan beras," katanya menjawab soalan wakil rakyat Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) berhubung usaha kerajaan negeri itu.
Sementara itu Izham berkata, bagi perancangan jangka panjang pula, Kerajaan Negeri akan menumpukan komponen penting dalam pertanian dan makanan khusus berkaitan penyediaan baka.
"Banyak benih dan baka diimport dari luar negara seperti udang yang diambil di Madagascar tetapi bila pandemik tidak boleh import dan kita beli di Thailand, tetapi kualitinya rendah.
"Malah, baka baka kambing terbaik iaitu Black Belly Barbados (BBB), tiada yang usahakan pembakaan, tanaman bayam juga import dari Taiwan.
"Oleh itu, Selangor akan tumpukan komponen penting dalam pertanian berhubung aspek baka seperti yang kita lancar tahun lalu lancar benih jagung, melon dan betik," katanya dipetik.
コメント