150 penerima terima baucar Aidilfitri di DUN Batu
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 1 min read

Seramai 150 penerima di KADUN Batu Uban menerima bantuan baucar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup.
Baucar bernilai RM100 itu boleh ditebus di Lotus’s Sungai Dua bagi membeli barangan keperluan harian sebagai persiapan menyambut Syawal.
Menurut ADUN Batu Uban, A Kumaresan, inisiatif tersebut mengambil kira keadaan rakyat yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup, yang turut dipengaruhi oleh ketidaktentuan dan konflik di Asia Barat.
"Saya memahami bahawa rakyat sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup, yang turut dipengaruhi oleh pergolakan yang berlaku di Asia Barat," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berkongsi dua berita baik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada rakyat Malaysia.
"Kerajaan telah mengumumkan cuti tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri, selain pelaksanaan kaedah pengawalan harga barangan asas selama 15 hari bagi memastikan harga keperluan kekal terkawal di seluruh negara," katanya.
Tambah beliau, langkah kawalan harga itu menunjukkan keberkesanan apabila sebanyak 95 peratus barangan terkawal telah mencatatkan penurunan harga.
