PM Anwar ucap tahniah kepada PM Thailand, tekad perkukuh kerjasama
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan ucapan tahniah kepada rakan sejawatnya, Anutin Charnvirakul, atas mandat baharu untuk terus memimpin Thailand.
Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan hubungan antara Malaysia dan Thailand sebagai amat penting, memandangkan kedua-dua negara merupakan jiran terdekat serta rakan dalam ASEAN.
"Saya dengan penuh rasa gembira mengucapkan tahniah kepada sahabat saya, Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, atas mandat baharu beliau untuk terus memimpin Thailand," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, kedua-dua negara mempunyai kepentingan yang saling berkait rapat, malah diibaratkan seperti dua sungai yang berpunca daripada mata air yang sama.
"Sebagai jiran terdekat dan rakan dalam ASEAN, Malaysia dan Thailand mempunyai kepentingan yang mendalam terhadap kejayaan antara satu sama lain. Nasib kita ibarat dua sungai yang berpunca daripada mata air yang sama," ujarnya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan hubungan kerja erat serta memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik.
"Saya menantikan untuk meneruskan hubungan kerja rapat dengan Perdana Menteri Anutin serta memperkukuh kerjasama Malaysia–Thailand, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kerjasama sempadan serta kestabilan serantau secara keseluruhan," katanya lagi.
Parlimen baharu Thailand hari ini memilih Anutin Charnvirakul mengekalkan jawatan PM pemimpin konservatif itu selepas partinya berjaya menewaskan pesaing pada pilihanraya baru-baru ini.
Anutin melepasi ambang 250 undi untuk dilantik sebagai PM.
Parti Bhumjaithai pro tentera dan pro monarki Anutin mencatatkan prestasi pilihanraya terbaiknya pada Februari lalu, selepas dua pertempuran melibatkan tentera Thailand dan Kemboja akibat konflik sempadan pada tahun lalu.
Bhumjaithai memenangi kerusi terbanyak berbanding mana-mana parti dan meletakkan Anutin di kedudukan teratas untuk mengetuai kerajaan seterusnya.
Parti Pheu Thai yang berada di tempat ketiga, pimpinan bekas Perdana Menteri yang yang pernah dipenjarakan, Thaksin Shinawatra, bersetuju untuk menyertai Anutin dalam gabungan bersama 14 parti yang lebih kecil.
