Selangor bangunkan ladang solar terbesar di Malaysia
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Selangor terus membuktikan komitmennya dalam sektor sumber tenaga boleh baharu apabila memulakan pembinaan projek Solar Fotovoltaik (PV) Bestari.
Projek di bawah Program Solar Skala Besar Kelima (LSS5) kerajaan itu meliputi kawasan lebih 430 hektar dengan kapasiti penjanaan 300 megawatt (MWac) dijangka siap pada 2027 dan sekaligus dijangka menjadi antara ladang solar terbesar di Asia Tenggara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada pada majlis pecah tanah projek itu di Kuala Selangor semalam berkata, projek tersebut penting bagi menyokong sektor industri, kediaman dan pasaran kenderaan elektrik (EV), memandangkan kira-kira separuh pengeluaran dan penggunaan tenaga di Semenanjung Malaysia tertumpu di Lembah Klang.
"Projek berkenaan selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) serta menyokong Agenda Ekonomi Hijau Selangor yang dilancarkan Oktober lalu.
"Dengan sumbangan 26.2 peratus kepada ekonomi negara oleh 7.3 juta penduduk Selangor, negeri ini memikul tanggungjawab besar termasuk dalam soal tenaga," katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (WHB) Datin Norazlina Zakaria, Menteri-Konselor Bahagian Ekonomi dan Perdagangan Kedutaan China di Malaysia, Sun Shuqiang dan Pengerusi CGNEI, Zhang Chaoqun.
Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi projek dengan nilai pelaburan RM1 bilion ini ditandatangani pada Mac 2025 dengan tempoh operasi selama 21 tahun.
Dengan kapasiti terpasang 460 megawatt-peak (MWp), projek ini dijangka menjana kira-kira 640,000 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun, mencukupi untuk membekalkan lebih daripada 150,000 isi rumah.
"Projek ini melambangkan komitmen Selangor terhadap ekonomi rendah karbon serta memperkukuh daya tahan tenaga untuk pertumbuhan masa depan," tambahnya.









Comments