Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan Program Pemberdayaan Komuniti Indah dan Ceria 2021 bagi memupuk amalan kebersihan dalam kalangan komuniti, khasnya di pangsapuri kos rendah.
Menurut Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, program berkenaan amat perlu dihayati oleh warga pangsapuri bagi memastikan suasana keceriaan wujud dalam komuniti.
"Selain mengukuhkan hubungan penduduk, program ini juga memupuk budaya bantu-membantu dalam menjaga kebersihan," katanya selepas merasmikan program berkenaan di Pangsapuri Seri Nipah semalam.
Katanya, amalan bersama-sama menceriakan persekitaran juga mampu mencegah peningkatan kes jenayah, masalah kesihatan, kejiranan serta sosial.
Program anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya itu turut disertai Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail serta Datuk Bandar Noraini Roslan.
Dalam lawatan berkenaan MB mengambil kesempatan menyerahkan bantuan Covid-19 kepada 50 penghuni pangsapuri berkenaan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 5.
コメント