Selangor anjur festival kebudayaan, iktiraf keunikan warisan Orang Asli
- Azuan Ab Rahman
- 47 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus komited memelihara warisan budaya masyarakat Orang Asli, di samping memperkukuh pengiktirafan terhadap identiti, adat dan tradisi komuniti berkenaan.
Exco Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu (gambar) berkata, sehubungan itu pihaknya akan menghimpunkan komuniti itu pada Festival Kebudayaan Orang Asli Negeri Selangor sempena Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2026.
"Festival tahunan ini bakal menghimpunkan penyertaan komuniti daripada 74 kampung Orang Asli di Selangor terdiri daripada tiga suku utama iaitu Temuan, Semai dan Mah Meri.
"Program ini bertujuan mengangkat serta memelihara warisan budaya Orang Asli di samping memperkukuh perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara komuniti Orang Asli dengan masyarakat pelbagai kaum," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Papparaidu, sambutan akan berlangsung di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu pada 9 Ogos ini dan sedang diselaraskan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor serta pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.
"Mesyuarat penyelarasan turut memperincikan aspek pengisian program, keselamatan, pengangkutan, kebersihan, kesihatan, promosi serta penyertaan agensi yang terlibat.
"Persediaan rapi itu penting bagi memastikan festival berkenaan berlangsung lancar dan mencapai matlamat memperkenalkan kekayaan budaya Orang Asli kepada masyarakat, sekali gus mengukuhkan agenda keterangkuman yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Selangor," jelasnya.
