Selangor angkat warisan asas negeri maju, berbudaya - Amirudin
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Warisan bukan sekadar tinggalan masa silam tetapi merupakan akar yang meneguhkan kemajuan dan asas kepada pembinaan peradaban bangsa.
Pandangan itu disampaikan Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menerusi Ucaptama Simposium Antarabangsa Komunikasi Warisan bertemakan “Khazanah Warisan Cerminan Peradaban” anjuran Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Rabu.
"Seperti pandangan Za’ba dan Sutan Takdir Alisjahbana, kemajuan hanya bermakna apabila berpaksikan akal, budi, dan nilai peradaban.
"Warisan adalah panduan untuk kita melangkah ke masa depan dengan adab dan hikmah," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Simposium itu menghimpunkan para ilmuwan serta sarjana tempatan dan antarabangsa untuk membincangkan makna warisan sebagai khazanah ilmu dan nadi pembinaan bangsa.
Ia turut mengetengahkan pelbagai bentuk komunikasi warisan, bukan sekadar sastera lisan seperti pantun, bahkan merangkumi seni budaya, tarian dan fabrik tradisional termasuk telepuk serta kelingkan.
Sementara itu dipetik Selangorkini, Amirudin menegaskan komitmen Kerajaan Negeri menyeimbangkan kemajuan ekonomi dengan kualiti hidup rakyat dengan mengangkat warisan sebagai asas modal ilmu dan modal insan.
Usaha itu dilaksana melalui pelbagai dasar termasuk pembangunan negeri pintar berasaskan teknologi serta program pemuliharaan seni dan budaya seperti terjemahan kitab warisan.
"Kemajuan tidak boleh dipisahkan daripada akar budaya. Kita memperkukuh warisan bukan untuk menyiapkan bangsa menghadapi masa depan dengan jati diri utuh.
"Tugas besar kita hari ini ialah mengkomunikasikannya kepada generasi yang hidup dalam dunia algoritma dan media sosial," tambahnya.









Comments