Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan program saringan Covid 19 percuma setiap DUN sebagaiamana yang berlaku sekarang dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau lockdown.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hal itu akan diputuskan selepas beliau bertemu Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menentukan prosedur pelaksanaan ujian Covid ketika lockdown.
"Untuk PKP, saya harus bincang dengan MKN untuk melihat prosedur dan saya kena bentangkan pada MKN dalam masa terdekat.
"Sampai ke 1 Jun kita akan teruskan. Selepas itu kita akan buat keputusan dalam tempoh 2 - 3 hari. Kalau tiada halangan kita dapat laksanakan," katanya kepada pemberita sewaktu meninjau proses saringan Covid di dewan serbaguna Teluk Pulai, DUN Selat Kelang, semalam.
Menjawab soalan media, apakah kerajaan Negeri Selangor akan memberi bantuan kepada rakyat bagi meringankan kesan lockdown, MB berkata, hal itu sedang diperhalusi.
"Kita sedang merangka. Kita akan melihat kedudukan kewangan negeri. Sudah pasti kita terpaksa memikirkan (beri bantuan) sebab kesannya sangat parah.
"Apatah lagi dalam 2 minggu (lockdown) kita rasakan tidak boleh habis, perlukan masa lebih panjang. Bantuan perlu diberikan, cuma angka, program apa, kita sedang rangka," katanya lagi.
Comments