Selangor agih projek RM8.2 juta kepada kontraktor secara adil - MB
- Suara Keadilan

- Sep 12
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Selangor komited melaksanakan agihan projek secara adil kepada kontraktor bagi memastikan semua pihak merasai limpahan kepesatan ekonomi negara.
Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak kerajaan negeri ketika ini sedang mengagihkan peruntukan sebanyak RM8.2 juta kepada 117 kontraktor terpilih menerusi satu proses pemilihan yang adil.
''Maknanya daripada atas sampai bawah, kita pastikan ekonomi kita sampai kepada sasaran. Apabila sampai kepada sasaran, kita juga boleh membantu mereka yang memerlukan.
''Kebetulan pula dalam program pada hari ini, kita bagi bantuan dalam bentuk sumbangan komputer (dalam sektor pendidikan).
''Jadi maknanya, bagi yang berupaya, berkemampuan melaksanakan kerja, mempunyai kemahiran dan idea serta modal, kita bagikan ruang seadilnya untuk mereka berkembang dan mendapatkan tapak,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kerja Bagi Peruntukan Perdana Menteri & Penyampaian Sejahtera Madani - Pendidikan: Peranti Madani Tahun 2025, di Kediaman Rasmi beliau di Shah Alam, Selangor hari ini.
Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor menambah, usaha kerajaan negeri adalah cerminan kepada komitmen untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang adil dan inklusif, demi memastikan setiap lapisan masyarakat tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan, beliau bertemu hampir 12 pengusaha dari Jepun termasuk syarikat-syarikat terkemuka seperti Sony, Panasonic, Mitsui, pembuat thermos dan pembungkusan makanan.
''Pagi tadi kita rasmikan pusat pengagihan dan gudang baharu untuk Jaya Grocer. Mereka mempunyai 60 lebih cawangan di seluruh Malaysia, terutamanya di Lembah Klang.
"Tapi hari ini, nilaian yang lebih baik dan lebih besar sebenarnya. Kita berikan lebih kurang RM8.2 juta.
''Dengan pelabur Jepun (tadi) mungkin mereka melabur antara RM2 hingga RM5 bilion.
"Sekarang ini, kita membantu atau melaksanakan pengagihan bernilai RM8.2 juta kepada 117 kontraktor yang dipilih melalui satu proses pemilihan yang adil," ujarnya lagi.









Comments