Selangor agih 26,354 baucar Jom Shopping Deepavali


Kerajaan Selangor mengumumkan komitmen dana berjumlah RM5.27 juta bagi menjayakan Program Jom Shopping Perayaan Deepavali untuk tahun ini.
Exco Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata sebanyak 26,354 baucar bernilai RM200 setiap satu akan diagihkan kepada penerima layak tahun ini secara serentak di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 17 Oktober hingga 7 November.
"Jumlah peruntukan bagi Program Jom Shopping Perayaan Deepavali pada tahun ini adalah RM5,270,800, merangkumi RM4.8 juta bagi kawasan DUN serta tambahan kuota EXCO sebanyak RM470,800.
"Baucar bertujuan membantu keluarga berpendapatan bawah RM3,000 membeli barangan keperluan asas bagi membuat persiapan menyambut Deepavali," katanya dipetik lapiran media.
Secara keseluruhan, Kerajaan Selangor memperuntukkan RM18.48 juta bagi Program Jom Shopping Perayaan tahun ini, meningkat RM2 juta berbanding tahun lalu. Peruntukan itu dijangka memanfaatkan 92,400 penerima bagi persiapan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.
Kerajaan Negeri turut memperkenalkan baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara bernilai RM200 seorang kepada 8,317 veteran, dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.
Sementara itu menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting itu, kaedah pengagihan dikekalkan seperti tahun sebelumnya dengan baucar diserahkan kepada pejabat DUN masing-masing sebelum diagihkan kepada penerima untuk membeli barangan di pasar raya terpilih.




Comments