top of page

Selamat Jalan Auntie Bersih



Oleh: Andre Lai Chen Heng


PENDAPAT: Semasa bulan puasa kami menerima berita mengejut pemergian Puan Annie Ooi, atau lebih dikenali dengan Auntie Bersih pada 25 Mac 2024.


Mengimbau kembali memori belasan tahun, sebenarnya saya telah lama mengenalinya kerana beliau sememangnya warga Wangsa Maju. Beliau telah lama mendiami kawasan Genting Court bersama anaknya sejak zaman reformasi tercetus pada 1998.


Mungkin ramai yang mengenali beliau sebagai aktivis BERSIH, tetapi saya sering terserempak dengan beliau sebelum zaman BERSIH lagi.


Saya mengenali beliau sebagai seorang ahli dalam komuniti Prima Setapak. Beliau sering berjalan kaki ke kawasan komersial Prima Setapak dan bertutur dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris dengan fasih.


Seorang pesara guru


Mentang-mentang beliau merupakan pesara guru Bahasa Inggeris dan sebagai seorang yang berasal dari Bukit Mertajam, beliau juga boleh bertutur dalam dialek Hokkien.



Nama beliau muncul di arus perdana, sebagai seorang yang berani berdepan dengan polis di kemuncak BERSIH 3.0 di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Gambar beliau memakai baju kuning menahan bau bom gas, berlatar belakangkangkan pasukan FRU memang sentiasa dalam ingatan kami yang pernah melalui zaman tersebut.


Penglibatan beliau tidak terhenti dengan BERSIH sahaja. Beliau juga terlibat dalam perhimpunan seperti Anti-Lynas, Anti-GST dan #KitaLawan.


Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara buat kali kedua, beliau juga sering menumpang kereta saya dalam perhimpunan harian di depan penjara Sungai Buloh.


Agenda reformasi sebagai solusi


Auntie BERSIH tidak menyertai mana-mana parti, namun beliau percaya agenda reformasi adalah solusi untuk masalah dialami negara. Beliau mempertahankan Rukunegara dan Perlembagaan Malaysia yang memelihara hak asasi setiap warganegara.


Saya jarang bertanya hal peribadi orang. Saya hanya tahu beliau merupakan ibu tunggal yang menetap bersama anak lelakinya Kelvin di Genting Court, Setapak dan mempunyai anak-anak yang telah berhijrah ke Australia.


Kali terakhir saya benar-benar berbual dengan wanita besi ini adalah di sekitar 2021. Kami membuat lawatan ke rumahnya bersama Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, mantan Ahli Parlimen Wangsa Maju masa itu.


Beliau masih lagi mempunyai ingatan yang kuat, tetapi tidak lama selepas itu, beliau mula mengalami kemerosotan memori. Beliau masih aktif, sering saya melihat beliau menyiram bunga, dan bermain dengan kucing seperti kanak-kanak.


Kadang-kadang di masa itu, kemungkinan kita mempunyai perasaan terkilan tetapi di dunia Auntie Bersih, beliau amat gembira.


Saya lebih kerap berjumpa dengan anak lelakinya Kelvin selepas itu, yang tinggal bersama ibunya sehingga ke saat-saat akhir hayatnya. Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan daripada Kelvin berkenaan berita pemergiannya ibunya di Australia pada 25 Mac 2024.


Memperingati Auntie Bersih


Namun, majlis pengebumian tidak dapat dilakukan kerana keluarga mereka menghadapi masalah untuk menerbangkan jenazah balik ke Malaysia. Saya menghubungkan Kelvin dengan pihak yang lebih pakar dan prosedur menerbangkan jasadnya mengambil masa beberapa minggu.


Saya mendapat maklumat bahawa keluarga mendiang Auntie Bersih akan mengadakan upacara pengingatan (Wake Service) di Gereja St Joseph Sentul pada 18-19 April, sebelum dihantar ke kremotirum dan dikebumikan di St Anne’s Parish di kampung asalnya di Bukit Mertajam.


Tahun 2009 – 2015 merupakan zaman kegemilangan pergerakan aktivis sosial, nama seperti arwah Haris Ibrahim dan mendiang Uncle Soh juga sering menjadi buah mulut kami. Namun, mereka telah pergi lebih awal sebelum Auntie Bersih @ Anne Ooi.


Beliau dan mereka sezaman akan sentiasa dalam ingatan.


Selamat Jalan Auntie Bersih.


Majlis Peringatan kepada mendiang Anne Ooi akan diadakan di Catholic Church of St Joseph, Jalan Sentul, Wilayah Persekutuan pada 18 & 19 April 2024 (12 tengah hari – 10 malam)

______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju dan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan.

0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page