Sekutu AS terjejas, ratusan stesen minyak di Australia habis petrol
- Suara Keadilan
- 1 minute ago
- 2 min read

Australia menjadi sekutu terbaru Amerika Syarikat (AS) terjejas susulan konflik Asia Barat yang dicetuskan kuasa besar itu bersama Israel apabila ratusan stesen minyak di seluruh negara berkenaan dilaporkan kehabisan bekalan bahan api, demikian menurut The Guardian.
Sebagai langkah menangani krisis bahan api itu, Australia memeterai perjanjian dengan Singapura, salah satu sumber terbesar negara itu bagi petroleum bertapis untuk memastikan bekalan diesel dan petrol terus mengalir.
Kebimbangan impak konflik itu kini meluas kepada bekalan baja dan bahan kimia lain sekali gus menambah tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anthony Albanese dalam memanfaatkan eksport arang batu dan gas ke luar negara bagi menangani krisis tersebut.
Menteri Tenaga, Chris Bowen pada Isnin berkata sejumlah 109 premis di Victoria telah kehabisan sekurang-kurangnya satu gred petrol manakala 47 premis di Queensland tiada bekalan diesel dan 32 stesen lagi tiada petrol tanpa plumbum biasa serta 37 stesen di New South Wales turut kehabisan petrol.
Premier New South Wales, Chris Minns sebelum itu berkata 105 premis di negerinya kehabisan diesel.
Bowen bagaimanapun tidak mendedahkan statistik bagi Western Australia, Northern Territory, South Australia atau Tasmania.
Dalam pada itu, Bowen menyatakan langkah ke arah catuan bahan api setakat ini bukan menjadi tindakan segera negara namun menyatakan pihaknya telah melaksanakan “perancangan kontigensi berhemah” dengan kuasa signifikan diberikan kepada negeri-negeri.
"...permintaan kepada orang ramai untuk menjimatkan bahan api akan menjadi langkah pertama dan hanya selepas itu, tindakan lanjut akan dipertimbangkan" kata Bowen kepada parlimen.
Sumber kerajaan berkata kuasa negeri akan digunakan terlebih dahulu sebelum kuasa Persekutuan untuk mengisytiharkan darurat bahan api nasional.
Terdahulu Anthony Albanese mengeluarkan kenyataan bersama dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengesahkan kedua-dua negara akan terus berdagang dalam sektor tenaga.
Australia-Singapura dalam kenyataan menyatakan kedua-dua negara akan “menyokong aliran barangan penting termasuk minyak petroleum seperti diesel, dan gas asli cecair antara kedua-dua negara serta memaklumkan dan berunding antara satu sama lain mengenai sebarang gangguan yang memberi kesan kepada perdagangan tenaga.
Sumber kerajaan meramalkan Australia akan cuba menggunakan “pengaruh” eksport utama gas asli dan arang batu bagi memastikan import minyak berterusan.
Australia merupakan salah satu pengeksport gas terbesar dunia, dan walaupun terdapat perbincangan berasingan mengenai kemungkinan mengenakan cukai baharu ke atas keuntungan gas, kerajaan sedang berusaha menggunakan eksport gas sebagai alat rundingan untuk menjamin import minyak.
Ketua Parti Nasional, Matt Canavan berkata eksport bahan api fosil Australia sepatutnya membantu memastikan bekalan minyak berterusan.
"Ia satu-satunya cara, iaitu arang batu dan gas, yang akan membolehkan kita terus mendapatkan bahan api dan baja ke negara kita," katanya dipetik dalam sidang media.
