Sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Malaysia semakin terkebelakang sejak beberapa tahun ini berikutan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang seolah-olah hilang fokus.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) berkata, Malaysia pernah di mercu kejayaan namun ketika ini telah ditinggalkan oleh jiran jirannya dalam sektor berkenaan.
"Saya ingin menyentuh tentang keperluan kementerian membuat perbandingan dengan pencapaian seperti di Singapura, Thailand dan Vietnam
"Thailand umpamanya dalam penekanan ini, yang saya fikir tidak diberi penekanan oleh kementerian, selain 'menghasilkan inovasi untuk kegunaan komersial, menguatkan daya saing sektor produksi dan perkhidmatan, mengurangkan kesenjangan pendapatan dan menaiktaraf teknologi'.
"Maknanya, penekanan itu sendiri mesti ada hala tuju yang jelas dalam mengurangkan ketempangan penggunaan digitalisasi dan teknologi, supaya kesenjangan golongan kaya dan miskin dapat dikurangkan," katanya dalam perbahasan sesi pagi di Dewan Rakyat.
Menurut Anwar, Vietnam pernah pada satu ketika memperlajari pengalaman Malaysia dalam meningkatkan R&D namun kini negara itu telah berada di hadapan dalam bidang inovasi
"Vietnam bagi saya menarik. Dalam merancangkan R&D mereka oleh kementerian sains dan teknologi, telah membuat perbandingan termasuk Malaysia.
"Dia melihat pada satu ketika perbelanjaan R & D Malaysia itu lebih baik, maka ditingkatkan perbelanjaan. Dipelajari pengalaman Malaysia dan Singapura dan sekarang mereka jauh lebih berjaya. Dari segi peruntukan ditingkatkan, dari segi penumpuan dalam beberapa isu yang harus diberi penekanan, juga dilebihkan daripada yang kita harapkan atau tekankan di sini.
"Ini termasuk kaitan antara industri dan universiti, supaya pendidikan itu tidak hanya bergantung kepada institusi asing dan luar.
"Sebagaimana saya tekankan di sini, bayaran konsultan universiti (tempatan) itu siling RM500,000, kalau konsultan luar negara RM30 juta ke atas.
"Ini akan memberikan gambaran keutamaan kita itu salah," katanya.
Tambah Anwar, biar pun agak jauh ditinggalkan Singapura dalam penggubalan dasar tetapi dengan apa yang dibuat Thailand dan Vietnam, Malaysia perlu lebih berdaya saing dan pihak kementerian perlu teliti semula sektor R&D supaya tidak lagi jauh ketinggalan.
Comments