Had PM dua penggal: Pas pernah perjuang, bila dibentang enggan undi
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Keputusan Pas ‘tidak menyokong’ Rang Undang-Undang (RUU) had dua penggal tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) mencetuskan perdebatan apabila hal berkenaan pernah menjadi antara tuntutan yang diperjuangkan parti berkenaan pada era Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar) mendakwa Pas bersikap ‘flip-flop’ kerana apabila sesuatu perkara dibentangkan pihak yang bukan sekutu mereka, parti itu cenderung menolak sepenuhnya tanpa mempertimbangkan reformasi yang dicadangkan sebenarnya sama seperti yang dikemukakan oleh mereka sebelum ini.
"Padahal mereka boleh bersetuju yang had tempoh (jawatan) PM itu (maksimum) 10 tahun atau dua penggal, tapi mereka ‘flip flop’, tak nak bersetuju walaupun benda itu baik untuk rakyat.. mereka tolak.
"Padahal (RUU tempoh jawatan PM) itu soal undi, bukan soal keabsahan kerajaan.
"Jadi mereka cuba nak ‘twist’ sebahagian rakyat. Hakikatnya Pas yang tidak tetap pendirian," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa pembangkang, khususnya Pas dilihat tidak konsisten apabila pernah memperjuangkan cadangan tersebut ketika bersama BA dan PR sejak 1998, namun tidak menyokong RUU berkenaan apabila ia dibentangkan.
Mengulas lanjut mengenai tindakan pembangkang itu, Faezuddin menyifatkan agenda had PM dua penggal yang diperjuangkan Pas selama ini lebih kepada retorik politik dan parti itu tidak berniat untuk merealisasikannya.
Kelmarin, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan PM kepada maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, sekali gus tidak dapat diluluskan.
Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas undian dijalankan sejurus tamat sesi perbahasan yang melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Beliau berkata, jumlah sokongan yang diperoleh tidak memenuhi syarat majoriti dua pertiga seperti yang ditetapkan bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam sesi pengundian 32 Ahli Parlimen tidak hadir, tidak mengundi 44, bersetuju 146, kurang dua untuk melengkapkan majoriti 148. Sekiranya Ahli Parlimen Pas menyokong maka RUU tersebut boleh diluluskan tanpa masalah.




Comments