ONSA tegaskan keperluan lindungi keselamatan remaja, kanak kanak
- Sidiqin Omar

- Mar 4
- 2 min read

Hubungan penting antara penggunaan media sosial, keselamatan remaja dan keperluan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, ONSA) semakin jelas apabila cadangan larangan penggunaan platform digital bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dilihat sebagai langkah penting melindungi golongan itu daripada jenayah dalam talian.
Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Mohd Fakharuddin Moslim menegaskan ONSA perlu dilaksanakan segera kerana pendedahan berlebihan remaja kepada media sosial tanpa kawalan membuka ruang kepada pelaku jenayah mendekati mangsa secara tersembunyi.
"Ini soal keselamatan pengguna itu sendiri. Ramai anak muda bawah 16 tahun terdedah kepada media sosial sehingga mengundang ancaman jenayah tanpa mereka sedar.
"Jadi ONSA wajar digubal dan dilaksanakan segera bagi melindungi pengguna muda," katanya kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata kepentingan media sosial dalam kehidupan moden tidak boleh dinafikan, namun keselamatan pengguna khususnya remaja mesti menjadi keutamaan, termasuk melalui kawalan umur minimum penggunaan platform.
"Seiring kepentingan media sosial, keselamatan mesti diutamakan. Jika jenayah berlaku, kerajaan akan dipersalahkan kerana dilihat tidak membendungnya," katanya sambil menegaskan isu itu bukan bersifat politik tetapi perlindungan awam.
Fakharuddin turut menggesa keluarga memainkan peranan aktif memantau penggunaan media sosial anak-anak serta memahami risiko keselamatan digital yang semakin kompleks.
"Pantau kegiatan media sosial anak muda dan ingatkan mereka tentang risiko. Kita semua perlu berganding bahu memastikan jenayah siber dapat dibendung," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Pimpinan KEADILAN Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata kes jenayah melibatkan kanak-kanak yang berkenalan dengan individu di media sosial sebelum dicabul membuktikan keperluan peraturan lebih tegas termasuk larangan bawah 16 tahun.
Beliau menyokong pendekatan kerajaan melalui ONSA yang turut merangkumi pengurusan identiti dan biometrik bagi memastikan platform digital bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna muda.

"Dengan penambahbaikan akta ini, kanak-kanak bawah 16 tahun akan lebih selamat dan terjamin. Platform perlu bertanggungjawab mencegah eksploitasi dan grooming," katanya.
Menurutnya, larangan umur minimum bukan sekadar sekatan akses, tetapi mesej jelas bahawa ruang digital mempunyai risiko sebenar kepada perkembangan dan keselamatan remaja jika tanpa perlindungan undang-undang.
Khuzzan menekankan kerjasama antara kerajaan, sekolah, NGO dan institusi masyarakat perlu diperkasa melalui program kesedaran mengenai ONSA dan keselamatan digital di kalangan pelajar.
"Kerajaan perlu lebih agresif memberi penerangan di sekolah dan komuniti supaya semua faham bahawa ONSA dan had umur ini bertujuan melindungi mereka," katanya.
Ujarnya, cadangan larangan media sosial bagi bawah 16 tahun bersama pelaksanaan ONSA dilihat saling melengkapi dalam membentuk ekosistem digital lebih selamat.
Langkah itu katanya menegaskan bahawa keselamatan remaja mesti mengatasi kebebasan tanpa kawalan di ruang siber.




Comments