Sektor perikanan: Exco T'ganu jangan retorik, usaha tingkat hasil tangkapan
- Suara Keadilan
- Feb 24
- 2 min read

Kerajaan Negeri Terengganu seharusnya mengusahakan agar sektor perikanan di negeri itu lebih lumayan hasilnya.
Bagi Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, komen Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu di media sosial kelmarin yang menyindir satu muat naik bahawa nelayan di negeri itu biarpun miskin tetapi menyediakan ikan untuk negeri kaya, dan dipertikaikan netizen perlu dijadikan iktibar.
Katanya, pemimpin Pas yang menguasai negeri janganlah terlalu banyak beretorik, hakikatnya nelayan masih miskin serta hasil tangkapan mereka rendah kerana Pas telah mentadbir negeri itu masuk tahun ke tujuh dan rakyat mahukan perubahan.
"Exco Terengganu Dr Azman jangan beretorik saja, banyak bukti yang diberikan terutama pendedahan terbaru Greater Terengganu Development tentang menjawab balik posting Facebook (FB) beliau berkenaan jumlah pendaratan ikan di Terengganu yang sedikit," katanya mengulas kecaman netizen di media sosial.
Sebelum ini, pentadbir akaun FB Greater Terengganu Development mengecam Exco tersebut dengan merujuk dokumen Jabatan Perikanan pada 2023.
Dalam dokumen itu, Terengganu merekodkan jumlah pendaratan ikan laut sebanyak 45,699 tan sahaja. Hampir tiga kali lebih rendah daripada Pahang. Sedangkan kata pentadbir itu pantai di Terengganu lebih panjang daripada Pahang.
Beliau juga memberi contoh pendaratan ikan di kawasan Bagan Datuk, parlimen Timbalan Perdana Menteri sebanyak 136,929.45 tan setahun. Lebih tinggi daripada Kelantan dan Terengganu jika digabungkan.
Sehubungan itu, Ahmad Nadhir mahu Exco Terengganu lebih banyak bekerja daripada bercakap, yang akan menyebabkan rakyat semakin bosan dengan mereka.
"Exco ini cakap banyak. Bercakap pun tak ikut fakta.
"Dalam FB cakap macam macam tetapi fakta kontradik dengan apa yang ditulis," katanya lagi.
Untuk rekod, Dr Azman sebelum ini menyindir satu muat naik FB yang berkata "Terengganu negeri walaon miskin dan tidak banyak menyumbang kepada pendapatan negara"
Komen itu dijawab: "Dengan adanya petani dan nelayan di negeri orang miskin seperti Terengganu maka orang kaya di kota boleh makan nasi berlauk ikan."
Comments