Sektor keusahawanan perlu ikut saranan PMX manfaatkan kecerdasan buatan
- Suara Keadilan

- 4 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Sektor keusahawanan perlu memanfaatkan peranan kecerdasan buatan (AI) sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam ucapan kenegaraannya di Sidang Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) baru baru ini
Hal itu kerana teknologi tersebut mampu memperkaya kreativiti dan kecekapan usahawan dalam mengenal pasti produk dan perkhidmatan bagi meningkatkan potensi ekonomi.
Bagi Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub, AI jika dimanfaatkan secara strategik akan dapat membuat cerapan dan menilai pasaran serta melaksanakan pemasaran digital dengan lebih berkesan.
"AI boleh membantu usahawan mengenal pasti produk yang mempunyai daya tahan pasaran, nilai tinggi dan potensi global. Dalam dunia pemasaran digital hari ini, AI sangat berguna untuk memahami trend, strategi promosi dan corak permintaan pengguna.

"AI juga dapat mempertingkat aspek reka bentuk pembungkusan, perkhidmatan pelanggan dan pengurusan operasi perniagaan. Namun begitu, keputusan akhir tetap perlu bergantung kepada kebijaksanaan dan pengalaman usahawan sendiri.
"AI memberi pandangan yang luas, tetapi manusia tetap perlu menjadi pengawal kepada keputusan akhir. Ia alat yang memperkasa, bukan mengganti kebijaksanaan manusia," katanya kepada Suara Keadilan.
Dalam pada itu Mustafa memaklumkan bahawa INSKEN kini sedang memperkukuh sistem pengurusan dan operasi dengan integrasi teknologi AI bagi mempertingkat kecekapan perkhidmatan dan sokongan kepada usahawan tempatan.
"Pada masa ini, kami sudah beroperasi secara digital, namun menjelang tahun depan, INSKEN akan memantapkan lagi penggunaan AI dalam pengurusan dan pembangunan keusahawanan.
"Pendekatan itu akan memperkukuh peranan INSKEN sebagai institusi peneraju dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing, inovatif dan beretika dalam era ekonomi digital yang pesat berubah," katanya lagi.
Menurut Mustafa, kecerdasan buatan mineral nadir bumi (rare earth) merupakan dua pemacu utama ekonomi masa depan yang tidak boleh diabaikan.
"Dalam konteks rare earth, Malaysia dikurniakan sumber mineral tersebut yang banyak di beberapa negeri dan perlu membangunkan keupayaan sendiri dalam proses pemurnian serta pembuatan produk akhir.
"Dengan teknologi dan kerjasama strategik, kita mampu menjadi antara pembekal utama rare earth dunia," katanya.
Mengulas perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Pegawai Eksekutif syarikat gergasi cip AI, NVIDIA Corporation, Jensen Huang pada persidangan APEC, Mustafa berkata negara yang menguasai AI akan memiliki kelebihan dalam automasi, kecekapan data dan keupayaan membuat keputusan dalam pelbagai sektor termasuk kewangan, kesihatan, pertanian dan pertahanan.
"Pelaburan bernilai RM10 bilion oleh syarikat NVIDIA untuk membangunkan infrastruktur AI menggunakan tenaga hijau di Malaysia membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi negara dalam ekonomi digital.
"Pelaburan seperti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menyokong usaha pengurangan pelepasan karbon," katanya lagi.









Comments