Sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negara mewakili 98% daripada perniagaan, 40% daripada keseluruhan ekonomi dan menjadi majikan kepada 70% tenaga kerja.
Kelemahan sektor ini akibat wabak Covid 19 dan pemulihan ekonomi yang perlahan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan membawa kepada risiko meningkatnya jumlah pengangguran yang kini telah mencecah 800,000 orang.
Bagi Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membangun semula sektor IKS.
Dalam membina semula IKS, katanya, kerajaan yang stabil juga perlu diambil kira agar pelabur sama ada dari dalam atau luar negara yakin untuk menanam modal.
"Sebab apa kita mahukan pemerintahan yang stabil. Bila stabil maka ada keyakinan. Sesiapa nak melabur memerlukan pemerintahan yang stabil.
"Tanpa ada pelaburan ekonomi tidak boleh berkembang. Malaysia negara dagang, kita bergantung banyak kepada import - eksport.
"Oleh demikian kita kena fokus dan memberi keyakinan kepada pelabur. Apa langkah utama yang patut diambil? Iaitu latihan sumber manusia. Ia masih ditahap yang lama. Tidak ada tekanan supaya anak-anak muda diperbaiki keupayaan penggunaan teknologi digital.
"Masalahnya ketersambungan. Masalah daerah, pedalaman Sabah, Sarawak dan sebagainya. Ini menyebabkan terdapat kesenjangan antara bandar dan luar bandar (dalam penggunaan teknologi)," kata Anwar dalam sesi siaran langsung di Facebook rasmi malam tadi.
Menurut beliau, teknologi digital akan menjadi langkah pemula penting kepada anak-anak muda dalam menceburi sektor IKS dengan bekerja secara tetap atau pun secara penyumber luaran kepada sektor tersebut.
Katanya, teknologi digital memudahkan pemasaran produk IKS serta berupaya meneroka ruang pasaran baharu secara atas talian yang menjimatkan kos.
"Teknologi boleh menjadi start up kepada anak muda yang guna kaedah sendiri dan kita bantu mereka untuk mengembangkan keupayaan. Dengan memberi sokongan dalam bidang pertanian, penternakan, nelayan atau sebagainya.
"Kita buktikan melalui teknologi maklumat, dengan menggunakan apps kita boleh tahu harga ikan di Tanjung Karang atau Kuala Kedah misalnya, supaya orang boleh membeli.
"Kesemua ini tidak akan berlaku kalau pimpinan (kerajaan PN) tidak mengambil tindakan segera. Pimpinan (hari ini) memberi bantuan mengikut pakej ransangan ekonomi tetapi apa yang perlu ditekankan adalah dasar (baharu) yang memberi manfaat kepada petani, nelayan dan seluruh rakyat," kata Anwar lagi.
Comments