Sekretariat Pejabat Presiden KEADILAN penghubung pimpinan - akar umbi
- Suara Keadilan
- Apr 12, 2024
- 1 min read

Sekretariat Pejabat Presiden KEADILAN yang diumumkan penubuhannya selepas mesyuarat pertama bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini adalah berperanan khusus untuk memperkasakan organisasi parti.
Menurut salah seorang anggota sekretariat, Manivanan Gowin, kewujudan sekretariat itu sendiri adalah bagi menyelesaikan masalah berbangkit, jurang hubungan pemimpin - anggota akar umbi dan sebagai persediaan acara atau peristiwa besar yang bakal dihadapi parti.
"Parti (selepas ini) akan menghadapi beberapa situasi di masa hadapan. Contohnya konvensyen, kongres, pemilihan, pilihan raya kecil, pilihan raya negeri dan lain lain. Ini semua memerlukan sekretariat bersedia membawa hala tuju parti.
"Kedua, mengeratkan lagi perhubungan peringkat cabang, Majlis Pimpinan Negeri dan peringkat lain dengan Pejabat Presiden.
"Ketiga untuk kita koordinat aktiviti di peringat cabang dan negeri (supaya lebih tersusun)," kata Manivanan kepada Suara Keadilan.
Selain itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, sekretariat akan membantu mengawal selia serta membantu dalam gerak kerja tertentu parti peringkat cabang, negeri atau di peringkat lain yang dikirakan sesuai.
Sekretariat juga, katanya, akan memberi pandangan ke atas pergolakan dan isu politik semasa serta mencadangkan jalan penyelesaian yang boleh diambil untuk dipertimbangkan.
"Berkaitan dengan isu politik (semasa, sekiranya sesuai) kami boleh beri pandangan.
"Juga tugas kami untuk menyelesaikan masalah (berbangkit) akar umbi KEADILAN," katanya lagi.
Untuk rekod, Sekretariat Pejabat Presiden KEADILAN dianggotai oleh lima pimpinan kanan KEADILAN antaranya Datuk Romli Ishak sebagai Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden (Koordinator).
Manakala, dua wakil Ahli Parlimen Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dilantik sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden.
Selain itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Manivanan Gowin turut menganggotai sekretariat itu selain Timbalan Wanita Pusat, Juwairiya Zulkifli dilantik sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden (Setiausaha).
Commentaires