Dana Sejati Madani: SPRM perlu siasat segera pensakau
- Akmal Manaf

- 1 minute ago
- 2 min read

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi (gambar) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh terhadap dakwaan ketirisan dana program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) seperti dilaporkan media.
Beliau berkata, jika wujud pihak yang mengambil kesempatan sebagai orang tengah untuk mengaut hampir keseluruhan dana projek, mereka adalah pensakau dan pengkhianat yang merompak hak rakyat.
"Tidak boleh ada kompromi terhadap mereka yang tamak dan mengkhianati amanah rakyat. Mereka ini perosak harapan rakyat serta usaha membina kekuatan ekonomi bangsa.
"Negara ini harus dibina oleh mereka yang menjaga amanah dengan jujur dan berani, bukan oleh mereka yang rakus," tegas beliau.
Nabil menjelaskan, Sejati Madani adalah inisiatif Kerajaan MADANI bertujuan membina kekuatan ekonomi komuniti, khususnya di kawasan desa dan perumahan flat melalui aktiviti pertanian, pelancongan, jahitan, kraftangan dan hijau.
"Sehingga 2025, lebih 3,062 komuniti dan 3,182 aktiviti ekonomi telah menerima peruntukan.
"Dana RM100,000 melalui JPKKP bukan milik individu atau ketua kampung, tetapi amanah rakyat untuk membangunkan projek ekonomi setempat," katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan terdapat syarikat tertentu di Terengganu yang menawarkan ‘khidmat perunding’ bagi memohon kelulusan dana berjumlah hampir RM100,000 dengan menyediakan kertas cadangan dan menguruskan permohonan.
Bagaimanapun, menurut beberapa ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang terlibat, projek tanaman yang diusahakan mereka kurang berhasil namun 'syarikat perungding' terbabit telah pun mengambil sehingga 90 peratus wang Sejati Madani, menyebabkan mereka tidak lagi mempunyai modal pusingan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, sumber SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa mereka sedang mengambil langkah susulan berhubung aduan yang dikemukakan oleh orang awam.
"Kertas siasatan telah dibuka pada tahun lalu dan SPRM mendapati tidak ada sebarang kesalahan yang dilakukan mengikut Akta SPRM 2009," katanya.
Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid pula ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Pada masa sama dia meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mahupun bukti berkaitan isu penyelewengan peruntukan Sejati Madani supaya tampil memberikan kerjasama.
Program Sejati MADANI yang dilancarkan pada Mac 2024 bertujuan meningkatkan pembangunan sosioekonomi tempatan melalui dana sehingga RM100,000, memfokuskan sektor pertanian, penternakan, kraf tangan, dan pelancongan bagi mengupayakan komuniti di seluruh negara.




Comments