Sekpur lapor polis tulisan Yusof Rawther sokong Israel
- Suara Keadilan
- Jun 16
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) hari ini membuat laporan polis terhadap Muhammed Yusoff Rawther dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.
Pengerusi Biro Politik Sekpur, Shahbudin Embun mendakwa, tulisan Yusof berkaitan Palestin dan Israel yang menyebelahi negara haram itu sekali gus telah menghina kedaulatan Malaysia dan kerajaan yang telah berjuang lebih tujuh dekad bagi membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Zionis.
''Jika saya nak membacanya, ia begitu panjang. Bagaimana beliau (Yusof) telah menulis dan akhirnya tulisan beliau telah diangkat dalam akhbar Israel National News.
''Kami menyeru dalam laporan polis kami ini, supaya (polis) membuat siasatan menyeluruh dan tegas mengikut Akta POCA.
''Tulisan beliau merupakan ancaman kepada negara dan beliau boleh diambil tindakan di bawah SOSMA kerana penulisan beliau telah melanggar undang-undang negara kita,'' katanya dalam sidang media di Hotel Ladzana di ibu negara hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Sekpur, Mustapa Mansur Amer Mohd Isa; Timbalan Pengerusi, Mejar (B) Razali Zakaria; Mantan ADUN Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Abdul Rani Kulup.
Sebelum ini, Yusoff telah menulis surat terbuka pada 2017 yang mendakwa solidariti dunia Islam kepada Palestin sebagai “naratif ciptaan media” dan melabel perjuangan Palestin sebagai anti-Semitik.
Tulisan itu pernah disiar dalam akhbar Israel National News dan menimbulkan kontroversi.
Laporan polis kedua pula katanya, adalah terhadap Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Katanya, dalam laporan MalaysiaKini sebelum ini Ahmad Fadhli telah mendakwa sesuatu yang tidak wajar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kes Yusoff yang didakwa mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
''Beliau memberi kenyataan dalam MalaysiaKini bahawa keputusan mahkamah membuktikan Yusoff dizalimi dengan perangkap yang dipasang dan mengesyorkan pihak polis disaman, sekali gus dapat membongkarkan siapa yang mengeluarkan arahan untuk letak dadah dan pistol.
''Sepatutnya seorang penggubal undang-undang, kamu kena fikir 10 kali (ke depan) berbanding orang biasa macam kami.
''Lantaran itu, SEKPUR mohon PDRM dan MCMC menurunkan kenyataan itu dan mengambil tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Seksyen 233 termasuk juga kesalahan berbentuk hasutan, ancaman dan menjatuhkan institusi Perdana Menteri,'' tegas beliau lagi.
Comments