Sekpur lapor polis fitnah Majlis Raja Raja nasihat PM berundur
- Suara Keadilan

- Oct 21
- 1 min read
Updated: Oct 23

Oleh: Akmal Manaf
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) telah membuat satu laporan polis terhadap kandungan dimuat naik di Facebook atas nama 'Noorasham Md Sari' yang didakwa memfitnah Majlis Raja-Raja dengan dakwaan menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berundur, namun dihalang DAP daripada membubarkan Parlimen.
Timbalan Pengerusi Sekpur, Mejar (B) Razali Zakaria yang membuat laporan itu berkata, hantaran tersebut dipercayai melanggar beberapa peruntukan undang-undang dan tindakan sedemikian berpotensi menyebabkan kegusaran awam serta terdapat unsur-unsur berkaitan isu 3R (agama, kaum dan Raja).
Menurut Razali, peruntukan undang-undang yang dipercayai terlibat termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233 yang memperuntukkan kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dengan memuat naik kandungan bersifat fitnah atau yang boleh menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
''Selain itu, perbuatan tersebut juga dipercayai melanggar peruntukan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 499 dan 500 kerana mengandungi unsur fitnah yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik Majlis Raja- Raja dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
''Beliau telah memfitnah Majlis Raja-Raja iaitu menasihatkan PMX supaya turun daripada menjadi Perdana Menteri tetapi DAP tidak membenarkan PMX bubar Parlimen.
''Saya memohon pihak polis untuk mengambil tindakan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kandungan FB tersebut serta mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mereka sekiranya didapati bersalah,'' katanya.
Beliau berkata demikian berdasarkan salinan laporan polis yang dilihat pihak media, yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur baru-baru ini.









Comments