SekPur lapor polis dakwaan tidak berasas Albert Tei burukkan PM, SPRM
- Suara Keadilan

- 2 minutes ago
- 2 min read

Susulan dakwaan tanpa bukti ahli perniagaan Albert Tei yang mengaitkan Perdana Menteri dan mantan Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) membuat laporan polis ke atas ahli perniagaan tersebut.
Menurut Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria, pihaknya membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur ke atas keteragan Albert Tei sebelum ini yang mengandungi unsur tuduhan, persepsi serta unsur menghasut tanpa disertakan bukti kukuh.
"Berikutan keterangan Albert Tei, kita dapati beberapa perkara yang nampaknya tidak ada fakta atau lebih kepada tuduhan, persepsi. Jadi ini bukan bukti. Oleh kerana itu kita buat satu laporan polis ke atas beliau," katanya di hadapan wartawan selepas laporan dibuat petang tadi.
Beliau menjelaskan antara dakwaan serius yang dibuat oleh individu itu termasuk menuduh Perdana Menteri kononnya mengarahkan Setiausaha Politiknya merakam video melibatkan rasuah ahli politik Sabah.
"Pertama, dia menuduh (Perdana Menteri) Anwar menyuruh Shamsul Iskandar merakam video rasuah YB Sabah," katanya.
Selain itu, kata Razali, Albert Tei turut mendakwa bahawa dia telah memberi rasuah kepada beberapa individu tertentu serta membuat tuduhan bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan pistol ketika menggeledah rumahnya.
"Dia juga menuduh SPRM semasa menggeledah rumahnya menggunakan senjata api pistol. Tujuh hingga lapan orang guna pistol mengacu kepala dia," jelasnya.
Razali menegaskan dakwaan seperti itu tidak boleh disebarkan sesuka hati tanpa bukti kukuh.
"Statement semua orang boleh buat, tidak ada fakta nyata. Kalau betul dia ada tuduhan itu, buat laporan polis, tidak perlu hebah dalam media sosial. Kalau hebah dalam media buat provokasi memviralkan isu, itu sahaja," katanya.
Sehubungan itu beliau meminta polis menyiasat Albert Tei di bawah Akta 588 (Akta Komunikasi dan Multimedia) atas kesalahan salah guna kemudahan rangkaian, serta di bawah Kanun Keseksaan berkaitan unsur fitnah yang menjejaskan reputasi Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Kedua-dua nama itu dia sebut, jadi pihak polis perlu siasat," katanya lagi.









Comments