SEKPUR lapor polis dakwaan salah guna dana awam era PN
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 1 min read

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia (SEKPUR) bersama Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO) telah membuat laporan polis berhubung penularan satu infografik dan artikel di media sosial yang mengandungi dakwaan serius mengenai penyelewengan dana awam dan kewujudan kartel dalam tender kerajaan pada era pemerintah Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon (gambar) berkata, laporan yang membabitkan dana didakwa diselewengkan daripada Projek Jana Wibawa itu dibuat bertujuan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kesahihan maklumat yang tular, termasuk dakwaan berkaitan aliran dana dan pembiayaan politik yang dipaparkan dalam kandungan berkenaan.
"Hantaran video dan infografik tersebut secara jelas menggambarkan satu rantaian aliran dana yang didakwa diselewengkan daripada sebuah projek demi kepentingan survival politik sebuah parti.
"Pendedahan digital tersebut secara terperinci menamakan entiti korporat serta individu tertentu termasuk pembabitan dua buah syarikat.
"Graf aliran tersebut mendakwa wujudnya pakatan kartel dalam tender-tender kerajaan bagi menyalurkan dana politik," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan bersama MEMO.
Menurut Shahbudin lagi, selaku badan yang memperjuangkan integriti digital dan ketelusan maklumat, SEKPUR dan MEMO menegaskan bahawa dakwaan sedemikian tidak boleh dipandang remeh.
Ujarnya jika maklumat yang ditularkan benar, maka ia merupakan satu bentuk pengkhianatan dana awam, amalan korupsi yang sistematik dan ancaman nyata kepada keselamatan serta ekonomi negara.
"Sebaliknya, jika maklumat tersebut adalah palsu, ia merupakan satu bentuk fitnah jahat yang boleh mencetuskan ketidaktenteraman awam.
"Oleh itu kami mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memulakan siasatan komprehensif tanpa bertangguh ke atas syarikat-syarikat dan individu-individu yang dinamakan dalam perimeter dakwaan tersebut.
"Tindakan tegas diambil bagi memastikan tiada mana-mana pihak boleh menyembunyikan amalan rasuah di sebalik tabir dana politik," katanya lagi.




Comments