top of page

SEKPUR lapor polis ahli politik tempatan dikaitkan pendanaan asing

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • May 15
  • 2 min read
Shahbudin (berbaju merah) membuat laporan polis terhadap aktiviti politik dikaitkan pendanaan asing
Shahbudin (berbaju merah) membuat laporan polis terhadap aktiviti politik dikaitkan pendanaan asing

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) menggesa pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan yang mengaitkan pendanaan asing dengan aktiviti politik tempatan.


Biro Politik SEKPUR menerusi satu kenyataan berkata, isu-isu utama yang ditekankan oleh sekretariat itu adalah seperti pendedahan aliran dana sebuah organisasi.


"SEKPUR menerima maklumat mengenai dakwaan aliran dana berjumlah lebih RM1.5 juta daripada organisasi globalis melalui entiti proksi tempatan.


"Kami menuntut penjelasan sama ada dana ini digunakan untuk membiayai naratif politik yang bertujuan menggugat kestabilan kedaulatan negara di bawah pengaruh asing.


​"Kedua, eksploitasi anak muda dan pelajar praktikal sangat membimbangkan apabila terdapat dakwaan bahawa anak muda dan pelajar praktikal digunakan sebagai 'tentera siber' dengan bayaran tertentu (didakwa sekitar RM1,700) untuk menggerakkan propaganda politik.


"Ini adalah satu bentuk eksploitasi terhadap idealisme anak muda demi agenda kelompok tertentu," kata Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun selepas membuat laporan di Balai Polis Chow Kit, Kuala Lumpur.


Pihak sekretariat turut membangkitkan isu pendedahan pembelian aset mewah seperti kenderaan yang didakwa menggunakan dana hasil sumbangan atau pendanaan politik adalah satu penghinaan kepada rakyat.


Katanya, pejuang rakyat tidak sepatutnya berpesta di atas kesempitan hidup massa di saat rakyat kini bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.


"SEKPUR telah memfailkan laporan agar siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA) dijalankan sekiranya terdapat unsur menjual kedaulatan negara kepada kuasa luar.


"Kami tidak akan teragak-agak untuk terus membongkar kepura-puraan ini demi menyelamatkan Malaysia daripada kolonialisme kewangan alaf baharu.


​"Negara ini bukan untuk dijual kepada pembida tertinggi. Setiap sen yang masuk dari luar negara atas nama 'demokrasi' mestilah diperiksa dengan teliti," tegas Shahbudin lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page