Sekpur gesa polis siasat ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan Sin Chew Daily
- Suara Keadilan

- Apr 16
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan siasatan terhadap sebuah akhbar tempatan Sin Chew Daily yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Naib Pengerusinya, Shahbudin Embon berkata, kesilapan itu berpotensi menyebabkan rakyat membuat tanggapan serong yang menjejaskan nama baik dan keselamatan negara.
"Kesalahan tersebut boleh disabitkan dengan kesalahan seperti Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah penggunaan tidak wajar) 1963, Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984).
"Saya memohon pihak polis untuk mengambil tindakan dengan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tujuan memaparkan ilustrasi yang tidak lengkap.
"Mungkin ada unsur sabotaj mengancam keselamatan negara, serta mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mereka sekiranya didapati bersalah," katanya dalam salinan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan dilihat media.
Memetik laporan Harian Metro hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap akhbar tersebut susulan tiga laporan yang diterima berhubung kejadian berkenaan.
Pengurusan akhbar berkenaan bagaimanapun dilaporkan telah tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang itu pada muka hadapan akhbar.
Dalam kenyataan dikeluarkan, akhbar tersebut menjelaskan, perkara berkenaan berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Pindaan segera dilakukan kepada ilustrasi versi digital, manakala ilustrasi yang dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula (hari ini) dalam versi cetak akhbar.









Comments