Sekolah sedia guru cukup tampung kemasukan murid usia enam tahun
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan bahawa bilangan guru, sekolah serta kemudahan sedia ada adalah mencukupi bagi melaksanakan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun bermula tahun hadapan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar) berkata, kajian terperinci berkaitan pelaksanaan dasar baharu itu, termasuk menilai keupayaan tenaga pengajar di sekolah yang dikenal pasti layak melaksanakan program berkenaan telah dilaksana.
"KPM akan memanfaatkan sistem data dan analisis bagi menyusun penempatan serta keperluan guru secara lebih berkesan, termasuk memperkasa kemahiran guru bagi menyokong murid Tahun Satu berusia enam tahun," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, di Alor Setar, pada Rabu.
Sementara itu tambah beliau, pihak kementerian juga telah mengenal pasti sekolah yang telah bersedia untuk melaksana dasar tersebut.
Dalam masa sama, kementerian juga telah merangka pelan khus pembinaan kelas baharu bagi menangani isu kepadatan kelas.
"Kita berpengalaman melaksanakan pembinaan secara sistem binaan berindustri (IBS) dengan tempoh pembinaan yang singkat dan sehingga kini lebih 100 sekolah padat di seluruh negara telah berjaya ditangani melalui kaedah ini," katanya.
Fadhlina sementara itu menegaskan, kementeriannya juga akan meletakkan pendidikan khas kekal sebagai keutamaan dalam pelaksanaan kurikulum baharu.
Sehubungan itu jelasnya, KPM memperkenalkan pendekatan baharu iaitu memastikan semua sekolah baru yang dibina dilengkapi kelas pendidikan khas.
"Sementara, isu berkaitan prasarana di sekolah lama pula akan diselesaikan secara berperingkat," tambahnya.









Comments