top of page

Sekolah dibenar tutup sementara jika cuaca lebih 37 darjah Celsius - KPM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 10 hours ago
  • 1 min read

Pihak pentadbir sekolah diberi kebenaran untuk menutup operasi sekiranya cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.


Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (gambar) berkata, perkara berkenaan antara garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak 2023 dan boleh diguna pakai sekiranya keadaan cuaca panas dan kering semakin meruncing.


"Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah mempunyai pengalaman yang mencukupi bagi menangani isu yang kita hadapi sekarang (cuaca panas dan kering).


"Sememangnya kita tahu bahawa hal ini juga menjadi satu cabaran bagi KPM untuk memastikan keselesaan dan juga kesihatan anak-anak," katanya dipetik.


Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Daif Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng pada Jumaat.


Wong sementara itu juga menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan kementerian. Justeru beliau turut menyeru pentadbir sekolah memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa.


Sementara itu sebagai mengulas lawatannya ke SJKT Gopeng, beliau memaklumkan, sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah berkenaan.


Projek di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 itu melibatkan pembinaan blok baharu merangkumi enam bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru serta kemudahan tambahan termasuk makmal sains, bilik kesihatan dan kaunseling.


Projek tersebut dijangka diiklankan pada Jun ini sebelum kerja pembinaan bermula hujung tahun, dengan tempoh pelaksanaan sekitar 22 bulan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page