Rakyat Malaysia diseru membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bagi membetulkan negara yang semakin lemah di bawah pemerintahan Kerajaan BN - PN.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ceramah siri Pentas Angkatan Muda, di Taman Medan, Petaling Jaya, malam tadi.
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu menegaskan, terhumbannya bekas Perdana Menteri Najib Razak ke penjara merupakan perubahan penting dalam institusi kehakiman, dan perubahan yang terhasil akibat kemenangan Pakatan Harapan pada 2018 itu perlu diteruskan dalam PRU akan datang.
"Sekarang Datuk Najib masuk penjara. Giliran dialah, dulu saya. Dulu saya beri ucapan, 'asyik saya masuk-keluar, masuk-keluar sudahlah, beri giliran orang lain pula'. Masin cakap aku. (Najib) nak sakit perut (dalam penjara) ke, sakit nyawa ke, saya tak tahu.
"Saya tak doakan mereka susah. Tetapi ikut jalur hukum. Pendakwaannya, hakimnya dan keputusannya. Kita boleh baca penghakimannya. Apa kata hakim, duit RM42 juta masuk akaun (Najib) dan belanja dari akaun itu untuk peribadi dan untuk parti.
"Ada orang kata tak salah. Saya kata hukum rimba namanya (kalau tak bersalah). Kita pilih negara hukum
"Sekarang ini adalah masa untuk bertindak. Anak muda jadi sukarelawan (pilihan raya). Wanita bangkitkan semangat baru, nak jaga anak anak kita. Ibu bapa bangkit bersama. Ini bukan soal parti, ini nak selamatkan negara. Nak selamatkan kita, ibu bapa kita dan anak anak kita," katanya.
Anwar mengingatkan hadirin bahawa keadaan Malaysia tidak seburuk ini dua dekad lalu.
Negara tidak mengalami inflasi sedemikian tinggi dan matawang tidak jatuh teruk RM4.50 untuk 1 Dollar Amerika Syarikat
"Tengoklah negara lain. Banyak yang dah tinggalkan kita.
"Masa saya Menteri Kewangan, kita nombor 1. Pelaburan asing nombor 1. Pertumbuhan ekonomi nombor 2 selepas Singapura. Nilai ringgit tinggi, sekarang jatuh. Mana ada maruah kita?
"Tetapi kalau bercakap berdegar degar. Demi Melayu dengan tengkoloknya. Islam, Islam tetapi pada amalnya tidak ada
"Saya jarang jawab sahabat dalam Pas dulu. Banyak kali isu Islam saya tak jawab tetapi malam ini saya nak sebut. Ukuran kita, baik soal bangsa Melayu atau Islam adalah amalnya, bukan nak tanam kebencian pada Cina, India, Iban atau Kadazan," sinisnya.
Pengerusi Pakatan Harapan itu juga tidak menyembunyikan kemuakkan beliau terhadap tohmahan yang diulang ulang oleh Umno dan Pas terutama isu azan tidak boleh dikumandangkan di Pulau Pinang, Melayu ditindas di Selangor dan sebagainya yang telah berkali kali dibuktikan tidak berlaku.
"Selangor sejak 2008 kita perintah, apa orang Melayu hilang?
"Hidup Pemuda Umno, tolak kerajaan Pulau Pinang kerana anti Melayu dan Islam. Tolak Amir (MB) dan kerajaan Selangor kerana anti Melayu, Islam. Ini apa?
"Sebab itu saudara fikir dengan baik. Ini peluang kita selamatkan negara kita. Jangan kekalkan negara kita dalam keadaan ini.
"Kita mampu angkat semula negara kita. Yang tentukannya saudara saudari, terutama anak muda yang mesti bangkit selamatkan negara ini," katanya lagi.
Comments