top of page

Sejarah baharu tercipta: Malaysia jadi pusat diplomasi dunia - Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kuasa baharu Global South, Brazil dan Afrika Selatan diwakili presiden menunjukkan keutamaan ASEAN
Kuasa baharu Global South, Brazil dan Afrika Selatan diwakili presiden menunjukkan keutamaan ASEAN

Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama dunia pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai pusat diplomasi dan pertemuan strategik global.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kehadiran pelbagai pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta Perdana Menteri dari China, Jepun, Australia dan New Zealand, membuktikan Malaysia kini benar-benar mendunia di pentas antarabangsa.

Dr Zulkifli Hasan
Dr Zulkifli Hasan

"Sejarah baharu tercipta. Cuba lihat senarai pemimpin dunia yang hadir ke Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC. Malaysia memang mendunia," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, sebelum sidang rasmi bermula, dunia telah menyaksikan pertemuan berprofil tinggi antara dua kuasa besar, Amerika Syarikat dan China, yang berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, membincangkan isu ekonomi dan perdagangan termasuk kadar tarif antara kedua-dua negara.


"Pertemuan ini amat penting kerana apa-apa keputusan antara dua kuasa besar ini pasti akan memberi kesan langsung kepada ekonomi global, termasuk Malaysia. Dan ia diadakan di Kuala Lumpur, satu pengiktirafan besar terhadap peranan negara kita," katanya.


Dr Zulkifli turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, manakala pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Kuala Lumpur kali ini merupakan yang pertama dalam sejarah.


Bagi Persidangan ASEAN kali ini, Perdana Menteri China, Li Qiang, hadir mewakili Presiden Xi Jinping.


Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menjadi platform penting membincangkan isu serantau dan global termasuk keselamatan, ekonomi digital, serta kestabilan geopolitik di rantau Indo-Pasifik.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page