Pas yang memperjuangkan Islam perlu lebih berhati hati berpolitik dan bukannya melakukan strategi ala Machiavelli, matlamat menghalalkan cara dengan memfitnah dan membunuh karektor pemimpin parti lawan.
Pengerusi Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob berkata, strategi politik menjelang Pilihan Raya Negeri yang diamalkan PN terutama Pas ketika ini seharusnya diubah kepada yang lebih cocok dengan Islam mengutamakan kesejahteraan serta dosa pahala.
"Sabda Rasulullah S.A.W di dalam mafhum hadis menyebut perperangan adalah satu tipu daya
"Mafhum hadis ini antara panduan umum yang sering digunakan parti-parti politik bagi menjustifikasikan segala tindakan dan gerak politik mereka supaya tindakan mereka mempunyai keabsahan atau legitimasi yang sah dari sudut agama dan dapat diterima oleh masyarakat.
"Namun begitu,tindakan politik Pas yang menggunakan fitnah dan pembunuhan personaliti yang melampau akhir-akhir ini juga dijustifikasikan dengan mafhum hadis ini seolah-olah fitnah dan pembunuhan personaliti itu dibenarkan oleh agama atas dasar perperangan yang dinisbahkan dengan persaingan politik.
"Sikap berwenang-wenang menafsir mafhum hadis untuk menghalalkan segala tindakan politik ini merupakan satu pengkhianatan terhadap agama itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Nadhir, penyokong Pas sering menyalah tafsir hadis berkenaan. Katanya, sepanjang sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w taktik fitnah tidak pernah dilakukan ke atas musuh-musuh perperangan, apatah lagi pembunuhan karektor.
Katanya, strategi perperangan Nabi lebih menumpukan kepada rundingan, perang psikologi, namun begitu strategi-strategi tersebut di bawah ruang lingkup akhlak dan garis panduan Al-Quran dan hadis.
"Sebaliknya tindakan Pas yang menyebar fitnah secara berterusan kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan memperlihatkan pengkhianatan mereka terhadap kefahaman sebenar garis panduan siasah atau politik yang dianjurkan Islam.
"Pembunuhan personaliti secara berlebihan juga bercanggah dengan anjuran membela dan mempertahankan maruah sesama Islam.
"Kerana ingin memuaskan nafsu politik Pas, mereka sanggup melanggar apa sahaja termasuk ajaran Islam yang benar," katanya lagi.
Sehuungan itu, Ahmad Nadhir berkata rakyat perlu diberi kesedaran bahawa Pas hanya memperalatkan ajaran Islam demi mencapai tujuan politik mereka.
Comentarios