top of page

Seimbangkan pemuliharaan hutan Sarawak dengan kesejahteraan rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 39 minutes ago
  • 2 min read

ree

Hutan di Sarawak perlu dikekalkan dan dipulihara bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas sekali gus mengekang perubahan iklim.


Bagaimanapun Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, pelaksanaan dasar pemuliharaan itu sebaik baiknya dilaksanakan seiring dengan kepentingan serta kesejahteraan masyarakat tempatan, khususnya komuniti rumah panjang dan penduduk luar bandar yang bergantung kepada sumber hutan bagi kelangsungan hidup mereka.


"Saya menyambut baik kenyataan Premier Sarawak yang menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengekalkan hutan di Sarawak sebagai usaha pemuliharaan alam sekitar dan mengekang perubahan iklim.


"Namun, saya berharap kerajaan dapat menilai semula syarat-syarat dalam Provisional Lease (PL), terutamanya yang melibatkan kawasan berhampiran atau bertindih dengan penempatan rumah panjang," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Abun Sui, kewujudan PL di kawasan yang telah lama didiami masyarakat tempatan sering kali menimbulkan konflik kerana menjejaskan hak dan kebebasan penduduk mengusahakan tanah adat (NCR) mereka.


"Kewujudan PL di kawasan yang didiami masyarakat tempatan telah menyulitkan penduduk mengusahakan tanah adat mereka. Dalam banyak kes, PL turut menjejaskan kegiatan ekonomi tradisional seperti eko-pelancongan, berburu, dan menangkap ikan — aktiviti yang selama ini menjadi sumber rezeki dan identiti masyarakat setempat," jelasnya.


Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir syarikat pemegang PL yang melarang penduduk tempatan daripada menjalankan aktiviti ekonomi di kawasan bertindih, meskipun kawasan itu telah digunakan secara turun-temurun oleh masyarakat tempatan.


"Lebih membimbangkan, ada syarikat yang diberikan PL melarang penduduk menjalankan kegiatan ekonomi, sedangkan sebelum ini mereka bebas mencari rezeki di kawasan tersebut," katanya.


Justeru, Abun Sui menyeru agar dasar pemuliharaan hutan yang dilaksanakan di Sarawak tidak hanya menumpu kepada aspek alam sekitar, tetapi juga mengambil kira dimensi sosial dan ekonomi rakyat.


"Usaha pemuliharaan hutan perlu dilaksanakan selari dengan kesejahteraan rakyat agar hak dan kehidupan masyarakat tempatan tidak terabai demi pembangunan atau pelaburan luar," tegas beliau.


Menurutnya, pemuliharaan hutan yang berjaya bukan sahaja mengekalkan biodiversiti, tetapi juga memastikan masyarakat asal terus menikmati manfaat daripada hasil bumi yang menjadi warisan mereka sejak sekian lama.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page